Wednesday 9 July 2014

Si Pengemis Yahudi

Alhamdulillah, pertama-tamanya dan selama-lamanya marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt di atas segala kurniaanNya, di atas segala nikmat yang amat tak ternilai dariNya, nikmat kesihatan, nikmat berkeluarga, nikmat kehidupan, nikmat tempat berteduh, nikmat makan, nikmat bernafas,  dan terlalu banyak lagi yang sememangnya kita takkan mampu hitung.  Allahu Rabbi, besar sungguh kasih sayangMu kepada kami, cintaMu kepada kami, hambamu yang lemah, yang sentiasa memerlukan bimbingan dan petunjuk dariMu...

Terlalu banyak kekurangan kita, lalai sentiasa daripada mengerjakan suruhanMu Tuhan, sentiasa melewat-lewatkan ibadat kami padaMu, sungguh jika tiada rahmat dan kasih sayangMu sememangnya kami termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.

Pandulah kami, bimbinglah kami, pimpinlah kami ke jalan yang lurus, jalan orang yang kau beri nikmat, jalan untuk menggapai redhaMu Tuhan... Jadikanlah kami, hambamu yang senantiasa bertaubat padamu, yang sentiasa mengingati dan mengerjakan suruhanMu... Amin...

Begitulah kita sebagai manusia, perlu sentiasa bermuhasabah, bermonolog kepada Tuhan kita, moga hari-hari yang kita lalui dipenuhi dengan keberkatan dan rahmat dari Allah swt.




“Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (al-Ra`d:28)

Di malam ke 10 Ramadhan kali ini, suka saya berkongsi satu cerita di Zaman Rasulullah saw, yang berkisar tentang seorang Pengemis Yahudi.  Jom layan dan hayati akhlak Baginda nabi Muhammad Saw, nabi yang kita cintai : 

Di satu sudut pasar Madinah al-Munawarah, ada seorang pengemis buta berbangsa Yahudi,  Hari demi hari dia akan berpesan kepada sesiapa saja yang melalui dan melintasi di hadapannya agar berhati-hati dengan insan yang bergelar Muhammad!  "Jangan korang sesekali mendekati Muhammad!  Dia itu gila! Ahli sihir!  Kalau kau dekat kepadanya nescaya akan celakalah nasibmu!" begitulah perbuatan si pengemis ini saban hari, menghina dan mencerca baginda nabi, semakin hari semakin teruk kata nistanya.

Namun, tanpa dia sedari, setiap pagi Rasulullah saw mendatanginya dengan membawa makanan.  Tanpa berkata walau sepatah apa pun, Baginda terus menyuapkannya.  Rutin ini dilakukan oleh Rasulullah saw setiap hari sehinggalah Baginda wafat.

Setelah itu, tiada sesiapa lagi yang membawa makanan kepada pengemis buta tersebut.  Sehinggalah suatu hari Saidina Abu Bakar datang kepada pengemis itu kerana beliau ingin meneruskan sunnah Baginda saw.  Baginya, itulah tanda dia mengasihi dan menyintai Rasulullah dengan meneruskan segala sunnah Baginda.  Abu Bakar melihat gelagat pengemis tersebut, tidak disangkanya begitu benci pengemis itu dengan Baginda nabi, kata-kata penghinaan pengemis itu kepada nabi amat memilukan hati Abu Bakar.  Beliau kagum kerana Rasulullah masih boleh memberi makanan kepada orang yang menghinanya setiap hari?

Lalu, Abu Bakar pun duduk mendekat pengemis itu, dan ketika hendak menyuap makanan kepada si pengemis, pengemis itu lantas berkata, "Siapa kamu??"

"Akulah orang yang selalu datang kepadamu,"  Abu Bakar cuba meyakinkan pengemis itu.

"Tidak! bukan  kamu.  Kalau dia, mudah sahaja aku menelan makanan kerana dia akan melembutkan makananku sebelum aku makan." jerkah pengemis buta.  Air matanya seakan berlinangan kerana jauh di sudut hatinya amat merindui tangan yang selalu menyuapnya makan.  Dia terlalu ingin tahu di manakah orang yang memberinya makan itu? Adakah dia ada menyinggung perasaan orang tersebut sehingga dia marah lalu tidak lagi datang memberinya makan? Kalau benar demikian, pengemis tersebut terlalu ingin meminta maaf kepanya, ya, maaf yang sungguh-sungguh kerana dia tidak rela ditinggalkan dan dimarahi oleh insan yang baik tersebut.  Air matanya sudah tak dapat ditahan lagi.  Dia menangis.

Abu Bakar yang sedari tadi diam, kerana tersentuh mendengar cerita pengemis buta akan akhlak Baginda nabi, benar-benar merasa sebak, keluhuran akhlak Baginda amat mengetarkan hatinya.  Cintanya pada Baginda bertambah-tambah.  Rindunya pada Baginda bukan kepalang.  

Dalam hiba Abu Bakar berkata "Ya, memang bukan aku orang itu... Orang yang memberimu makan selama ini sudah meniggalkan kamu dan dunia ini.  Akulah yang menggantikannya.  Aku ialah Abu Bakar, sahabat kepada Muhammad, orang yang setiap hari memberi kamu makan..."

Mengetahui hal itu, pengemis buta itu tersentak, tidak disangkanya insan yang dirinduinya itu adalah insan yang selalu dihinanya.  Maka, makin kuatlah esak tangis pengemis itu, dia begitu menyesali perbuatannya.  Saat itu juga, Abu Bakar telah menjadi saksi akan keislamannya... Subhanallah..

Sungguh indah Akhlak Nabi... T_T


No comments:

Post a Comment